NASIONAL

Kerajaan bakal kaji semula Dasar Utama Nasional

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Dasar Utama Nasional akan dikaji semula untuk memastikan pembangunan ekonomi negara yang mampan dan pengagihan lebih adil.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) antara 2021 hingga 2025 akan memfokuskan strategi pembangunan lebih terperinci dan komprehensif.

“Dengan prospek ekonomi kukuh, kita boleh menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara dan ASEAN.

“Bangaimanapun, kita mesti terus mengukuhkan pentadbiran bersifat responsif demi mengukuhkan institusi dan mekanisme di ASEAN, dengan memberi penekanan kepada teras seperti kepimpinan wanita, keusahawanan muda serta pemberdayaan perniagaan juga perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Makan Tengahari Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS), di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya, statistik sejak Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan Malaysia mengeksport RM162 bilion secara keseluruhan kepada negara ASEAN mewakili lebih 28 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Malaysia juga mengimport RM127 bilion dari ASEAN, bersamaan suku daripada jumlah keseluruhan eksport.

“Sektor pembuatan dan perkhidmatan dinamik akan terus menarik pelaburan dari syarikat global.

“Bagaimanapun, situasi ini akan menjadi lebih baik jika negara mengambil langkah menambah baik institusi, kemudahan selain memperkasakan kemahiran tenaga kerja,” katanya.

 


Pengarang :