EKONOMINASIONAL

Kerajaan bincang cadangan gubal Akta Sabotaj Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Kerajaan sedang dalam peringkat perbincangan bersama pihak berkaitan mengenai cadangan untuk menggubal Akta Sabotaj Ekonomi bagi mengekang tindakan menjual kontrak dan permit import (AP), Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penggubalan akta itu adalah antara resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, Sabtu lepas.

“Cadangan penggubalan akta itu penting bagi mengekang tindakan pihak-pihak tertentu daripada meraih keuntungan segera melalui penjualan kontrak dan permit import,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau​​​​​​ menjawab pertanyaan Senator Datuk Bashir Alias mengenai bentuk program yang akan dilaksana kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Mohd Radzi berkata pada masa ini kerajaan sedang menyediakan strategi, inisiatif dan hala tuju baharu Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) melalui penyediaan kajian separuh penggal rancangan itu.

“Dokumen kajian separuh penggal itu akan dibentangkan pada Oktober ini dengan mengambil kira keperluan semasa rakyat berteraskan kepada prinsip menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan kaum Bumiputera secara saksama akan diberi keutamaan bagi menangani penyertaan yang tidak seimbang dalam guna tenaga, pemilikan aset seperti hartanah dan ekuiti korporat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :