SELANGOR

Kerajaan Negeri amalkan konsep ‘buta warna’ untuk semua kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri komited untuk terus konsisten dalam melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan pemberdayaan setiap golongan dengan mengambil kira konsep ‘buta warna’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, konsep itu diterapkan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya setiap kaum merasai peruntukan tanpa pilih kasih.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri menjanjikan suasana yang baik, keadilan untuk rakyat dan pentadbiran jujur serta amanah.

“Kekayaan negeri bukan milik pimpinan tetapi untuk rakyat Selangor, sebab kita kita memastikan rakyat berada dalam keadaan baik menerusi pelbagai insiatif yang dilaksanakan.

“Kemerdekaan 61 tahun ini mengajar kita erti perpaduan. Sudah sampai masanya kita meninggal perbezaan kaum. Memisahkan antara kaum adalah perbuatan penjajah berpuluh tahun dahulu.

“Kita kini hidup bebas dalam tanah air dalam sebuah negara Malaysia. Sudah sampai masanya kita buang sikap prejudis perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Selangor.

Pada masa sama, Amirudin mahu setiap ibu bapa di negeri ini menjadi pelopor dan bersatu padu untuk menekankan semangat perpaduan.

“Peranan pendidikan tidak seharusnya diletakkan kepada guru seratus peratus tetapi juga memerlukan kerjasama daripada ibu-bapa, keluarga, jiran tetangga, pimpinan masyarakat dan juga pihak berkuasa yang rapat dengan masyarakat.

“Untuk membebaskan kejahilan adalah usaha penting yang perlu kita lakukan, kerana kejahilan akan melahirkan masyarakat yang lemah dan tidak mampu menyumbang kepada pembentukan bangsa,” katanya.

 


Pengarang :