SELANGOR

Kerajaan Negeri arah kilang punca pencemaran ammonia dipindahkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sudah mengarahkan pengusaha Kilang Ais Everest Aisvaram Sdn Bhd yang menyebabkan pencemaran gas ammonia dipindahkan ke kawasan perindustrian dengan segera.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, ia susulan lapan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan muntah ekoran pencemaran itu, Ogos lalu.

Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Tanah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan dan Jabatan Kimia Malaysia akan memantau dan memastikan operasi pemindahan gas ammnonia dapat dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pihak MBSA menjalankan siasatan ke atas kilang itu dan hasil siasatan mendapati terdapat masalah kebocoran gas ammonia pada mesin yang digunakan di dalam kilang itu.

“Selain itu, kilang itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. Oleh itu, MBSA mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Terdahulu, kilang terbabit diarahkan mengalihkan mesin tangki ammonia dengan kadar segera dan pemindahan operasi kilang dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan.


Pengarang :