SELANGOR

Kerajaan Negeri berusaha tambah tapak, galak belia niaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu peniaga kecil terutama golongan beliau yang baru berjinak menceburi bidang perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, antaranya usaha menambah gerai atau petak penjaja di kawasan yang dikenalpasti.

“MPAJ menubuhkan penempatan penjaja sementara (Zonning Penjaja) dan masih mempunyai sebanyak 182 kekosongan petak penjaja merangkumi 3 sesi pagi, petang dan malam.

“Kebanyakan PBT menggalakkan golongan belia untuk berniaga di tapak-tapak penjaja yang disediakan oleh Majlis selain memberi peluang berniaga di pasar malam atau pagi, tertakluk kepada kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sze Han berkata, terdapat banyak tapak baru dibuka PBT bagi tujuan tapak-tapak pasar malam dan food truck pada tahun ini.

“Perniagaan food truck ini semakin diminati oleh golongan belia dan dengan penyediaan tapak-tapak ini, Kerajaan Negeri berharap semakin ramai belia akan menceburi bidang perniagaan,” katanya.


Pengarang :