SELANGOR

Kerajaan Negeri cadang cari rumah lain penduduk Pangsapuri Trompet

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 29 SEPT: Kerajaan Negeri mencadangkan akan mencari unit rumah lain kepada penduduk Pangsapuri Trompet, Bukit Beruntung, di sini.

Hal itu berikutan terjadinya permasalahan mendapan dan keretakan yang teruk sehingga memaksa penduduk di situ mengosongkan hampir lima blok berkenaan dan berpindah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia terjadi disebabkan pemaju terdahulu yang mengambil sikap sambil lewa sehingga mengabaikan keselamatan penduduk.

“Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk membiayai kos lebih kurang RM800,000 namun kita perlu menunggu sebut harga daripada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor sebelum membuat sebarang keputusan.

“Hal ini kerana, ia memerlukan kajian lebih terperinci dan membabitkan campur tangan daripada pihak berkaitan juga bagi memastikan isu sama ada disebabkan kelemahan struktur bangunan itu sendiri atau tapak asasnya merupakan aliran air seperti di Highland Tower,” katanya.

Beliau bekata demikian selepas membuat lawatan ke tapak Apartment Trompet, Bukit Beruntung, di sini, semalam.

Amirudin berkata, kes berkenaan berlaku sejak 2010 dan penduduk diminta mengosongkan mulai 2015.

“Saya rasa Kerajaan Negeri akan melihat kos dahulu sama ada ia memberi keuntungan atau sebaliknya kerana sekiranya kita perbaiki tetapi tiada orang tinggal di sini, tiada guna juga.

“Kami akan cuba membantu kerana difahamkan anggaran dalam 30 keluarga sahaja yang tinggal dalam satu-satu blok yang mempunyai 80 unit rumah kesemuanya,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut meluahkan rasa kecewa terhadap pemaju yang membuat pembangunan dengan cara tidak betul, tidak terancang, tergesa-gesa yang akhirnya mendatangkan kekecewaan kepada rakyat.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Raja Limah Raja Yusuf berkata, beliau berharap Kerajaan Negeri sudi membantu supaya nasib penduduk di situ terbela.

“Sudah 17 tahun saya menetap di sini dan semakin lama keretakan semakin ketara sehingga merisikokan penduduk kawasan sini, jadi saya harap Kerajaan Negeri dapat membantu kami,” katanya.

Manakala, Mohd Yunus Yahya, 58, berkata, penduduk yang berpindah turut mengalami risiko kerana hanya dipindahkan ke blok lain yang turut mengalami keretakan namun tidak serius seperti rumah asal.

“Harapan saya jika boleh pihak Kerajaan Negeri diminta supaya meruntuhkan pangsapuri ini dan mencari alternatif lain kepada kami,” katanya.


Pengarang :