SELANGOR

Kerajaan Negeri lulus RM3 juta program EIP

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri komited meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pelaksanaan Program Intervensi Awal (EIP) kanak-kanak, pada tahun ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia membabitkan perbezaan sebanyak RM1.8 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, program EIP itu bertujuan menyediakan pendidikan dan perkhidmatan terapi yang diperlukan oleh kanak-kanak keperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydritherapy.

“Jumlah peruntukan yang diluluskan terbahagi kepada dua kategori A dan B dimana kategori A bagi Institut EIP maksimum sejumlah RM100,000 manakala kategori B bagi Badan Kebajikan atau NGO maksimum RM10,000.

“Sebanyak 13 institut atau badan kebajikan berdaftar sudah menerima manfaat daripada peruntukan ini yang diberikan secara ‘one-off’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, program itu banyak membantu institusi dan agensi berkenaan dalam menambahbaik keperluan dan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas untuk menjalani kehidupan seharian.

Oleh itu, Dr Siti Mariah berkata, melihat kepada keperluan dan keberkesanan program berkenaan, Kerajaan Negeri komited meneruskannya pada tahun ini dengan pemberian bantuan kewangan diberi kepada permohonan baru dari institusi layak serta turut mempertimbangkan permohonan kali kedua daripada institut yang pernah menerima bantuan kewangan EIP pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk permohonan kali kedua, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan meneliti laporan penggunaan peruntukan tahun 2017 dan akan mengesyorkan sejumlah bantuan kewangan tahun ini selaras dengan garis panduan permohonan peruntukan EIP maksimum RM50,000 untuk kategori A.

“Berdasarkan garis panduan sedia ada, tidak timbul sebarang tanggapan bahawa Kerajaan Negeri mengenepikan kelompok ini dengan pemotongan peruntukan EIP namun ia sudah dijelaskan bahawa peruntukan sudah ditetapkan RM100,000 pemberian kali pertama manakala RM50,000 kali kedua.

“Kerajaan Negeri percaya semua pihak yang terpilih memahami dan bersetuju dengan syarat ditetapkan dan kita mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai untuk kebaikan dan kelancaran program ini,” katanya.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri berhasrat akan meneruskan program itu pada masa akan datang sekali gus meningkatkan aksessibiliti pencapaian pendidikan awal kanak-kanak dengan memberi peruntukan latihan kepada guru terlibat.

“Justeru, Kerajaan Negeri optimis supaya program ini terus dimanfaatkan oleh semua pihak dalam membantu masyarakat bagi memenuhi keperluan golongan orang kelainan upaya yang menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.


Pengarang :