SELANGOR

Kerajaan Negeri rancang tutup premis jual arak haram

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan Negeri merancang mencari kaedah terbaik untuk menutup premis menjual arak haram di sekitar Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan dalam masa terdekat.

Katanya, antara agensi-agensi terbabit adalah Kastam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta misalnya Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di salah sebuah premis yang didapati menjual arak sehingga menyebabkan kematian 15 individu di sekitar Selangor di Kampung Baru Sungai Buloh, semalam.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri sudah menutup tiga premis yang menyebabkan berbelas kematian baru-baru ini.

Katanya, premis terbabit berselindung di sebalik kedai makan untuk menjual arak haram berkenaan.

“Ketiga-tiga premis itu dibina di atas tapak pertanian dan sehingga masa kini, semua pemiliknya masih lagi dikesan.

“Mereka juga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan tindakan tegas diambil untuk menutup semua premis yang didapati menjual arak secara haram di negeri ini,” katanya.


Pengarang :