NASIONAL

Kerajaan Negeri Sembilan akan salur bantuan kepada mangsa banjir

PORT DICKSON, 17 SEPT: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Ladang Sengkang, Linggi, dekat sini yang terjejas oleh bencana alam itu yang melanda dua hari lepas.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata bantuan berbentuk barangan keperluan harian itu akan disalurkan dalam masa terdekat.

Hari ini jentera kerajaan dan sukarelawan turun padang melakukan kerja-kerja pembersihan terhadap 15 buah rumah yang terjejas banjir itu, kata​​​nya ​kepada pemberita selepas melawat tiga keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Sungai Raya, di sini, hari ini.

Jumlah mangsa banjir di pusat itu ialah 15 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi daripada tiga keluarga. Mereka dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam satu meter akibat hujan berterusan pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Port Dickson dalam kenyataan, memaklumkan pusat pemindahan sementara itu ditutup pada pukul 1 tengah hari tadi selepas kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :