AGAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM219,850 kepada institusi Islam Sepang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 14 SEPT: Lima buah masjid, surau dan Sekolah Agama KAFA di Sepang menerima sumbangan RM219,850 daripada Kerajaan Negeri bagi membiayai kos pembangunan masing-masing.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas selesai solat Jumaat bersama kariah Masjid An Nur, Kampung Chuchoh, di sini.

Antara penerima terbabit ialah Masjid An Nur yang menerima sumbangan RM159,850 daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RM20,000 daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Nazir masjid berkenaan, Yaakob Sadikin berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membiayai projek menaik taraf rumah ibadat terbabit.

“Kita memang merancang untuk membesarkan masjid ini bagi menambah kapasiti kerana pada masa ini ia hanya mampu menampung kira-kira 500 orang sahaja, pada satu masa sedangkan penduduk semakin ramai.

“Kos keseluruhan dianggarkan RM500,000 untuk tujuan ini, sekarang masih belum cukup tetapi akan dibantu pelbagai sumbangan orang ramai persendirian dan syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas selesai program penyerahan sumbangan itu.

Yaakob berkata, sumbangan dihulurkan itu membantu jawatankuasa masjid berkenaan menjayakan projek yang dirancang sejak sekian lama itu.

Wakil Sekolah Agama Intergrasi KAFA Ehsanuddin, Adni Lajis pula berkata, sumbangan RM10,000 yang diterima akan digunakan untuk membeli bangku bagi kegunaan pelajar.

“Sumbangan ini dapat kami gunakan untuk mengganti bangku lama bagi keselesaan anak kita belajar nanti,” katanya.


Pengarang :