BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri terus sokong usaha mantapkan DEB

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kerajaan Selangor menyokong sebarang usaha menambah baik Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memantapkan ekonomi Bumiputera dan orang Melayu termasuk langkah membatalkan projek yang telah dipindah milik dari pemilik asal.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata langkah itu dapat membenteras budaya orang tengah dan pelobi supaya pihak yang mempunyai keupayaan sebenar dapat melaksanakan projek sehingga berjaya.

“Keadaan itu sebagai jaminan (kerajaan) demi memastikan keutamaan kontrak diberikan kepada kumpulan peniaga sebenar, bukan mengembangkan kelompok pelobi yang hanya ingin mengutip hasil besar.

“Bahkan caj yang dikenakan pelobi atau orang tengah ini kebiasaannya tinggi hingga mengakibatkan kos projek meningkat sehingga ia gagal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui selepas majlis perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian sebelum itu menegaskan Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membatalkan projek yang dipindah milik kepada pihak lain dan pertolongan tidak akan diberikan kepada kumpulan yang mahu memperoleh kekayaan segera.

Amirudin berkata, di peringkat Kerajaan Negeri pihaknya mengambil keputusan menyenarai hitam syarikat yang gagal melaksanakan projek seperti diarahkan dalam kertas kerja atau tander diberikan.

Beliau berkata, hasil perbincangan kongres hari ini diharapkan mampu memperbaiki kelemahan pelaksanaan DEB menerusi perkongsian pakar dan pemain industri.

“Kongres hari ini merupakan satu arah tuju jelas daripada Tun Mahathir dan ia sememangnya dilema besar dalam pengembangan pembangunan ekonomi orang Melayu.

“Sebelum ini, negara telah menggariskan DEB yang ingin membantu golongan Bumiputera tetapi pelaksanaannya ada beberapa kelemahan. Kelemahan dan kesilapan yang boleh diperbaiki dan perlu dibincangkan secara jujur.

“Dalam kongres Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini cukup jelas untuk meneruskan pembangunan negeri dan negara yang lebih baik supaya semua rakyat dapat menikmatinya,” katanya.


Pengarang :