NASIONALSUKANKINI

Kerajaan Persekutuan sentiasa beri sokongan, bantu temasya SUKMA

IPOH, 22 SEPT: Kerajaan akan terus memberi sokongan penuh kepada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) dalam bentuk bantuan dana mahupun bantuan terus daripada agensi berkaitan kepada negeri yang menjadi tuan rumah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata temasya sukan dwitahunan itu berada dekat dengan hatinya kerana acara sukan berkenaan telah dicadangkan suami beliau sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1983.

“Rasional saudara Anwar ketika itu adalah penganjuran sukan kebangsaan dapat menambah baik kualiti atlet serta melahirkan atlet baru dan juga menggalak lebih ramai remaja untuk menceburi bidang kesukanan di peringkat negeri.

Acara sukan kebangsaan ini juga dapat menambah baik kepakaran pegawai-pegawai terlibat dalam bidang kesukanan serta menggalakkan pembinaan dan penambahbaikan fasiliti sukan yang sedia ada dan baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sukma ke-19 2018 di Stadium Perak di sini malam tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak kerana penganjuran Sukma kali ini telah mencatatkan sejarah tersendiri melalui penganjuran 427 acara daripada 29 jenis sukan di 39 lokasi pertandingan dan 18 lokasi penginapan atlet di kesemua 12 daerah dalam negeri ini.

“Pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri ini memberi peluang kepada seluruh rakyat negeri Perak termasuk di luar bandar untuk menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan di samping memperkenalkan tempat-tempat tarikan pelancongan kepada mereka dari luar negeri Perak,” katanya.

Dr Wan Azizah turut memuji Perak kerana memiliki kemudahan sukan yang setanding dengan negeri-negeri lain atau lebih baik dengan terbinanya kemudahan sukan bertaraf antarabangsa untuk kejohanan Sukma kali ini seperti Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Menembak Darul Ridzuan dan Stadium Ragbi yang pertama di Malaysia.

“Prasarana sukan yang dibina ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa tetapi juga memaparkan fasad yang menarik yang beridentitikan Negeri Perak dan rakyat Negeri Perak harus berbangga dengannya,” katanya.

Tambahnya, dengan kemudahan prasarana sukan yang baharu melalui bantuan Kerajaan Pusat ini, usaha bagi mencungkil dan membentuk atlet baharu yang bertaraf antarabangsa dapat dipergiatkan oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya, persatuan-persatuan sukan, Majlis-majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan-kerajaan negeri.

“Kemudahan-kemudahan sukan yang telah dibangunkan ini hendaklah dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan prestasi atlet-atlet kita ke satu tahap yang boleh menjadi kebanggaan negara.

Dengan kemudahan seperti ini tiada sebab mengapa kita tidak boleh menghasilkan atlet-atlet terbaik di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun di peringkat dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata semoga Kerajaan Negeri Johor dapat memulakan persiapan awal khususnya dalam mengenal pasti keperluan infrastruktur bagi penganjuran Sukma ke-20 pada tahun 2020 nanti selain persiapan kontinjen-kontinjen negeri yang akan mengambil bahagian nanti.

“Perancangan awal untuk membentuk atlet-atlet yang akan mewakili negeri masing-masing haruslah dilaksanakan secepat mungkin khususnya dalam mencungkil bakat-bakat sukan yang baru selain memperkemaskan kemahiran dan prestasi atlet-atlet sedia ada supaya persaingan yang lebih hebat dapat disaksikan di Johor nanti,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan hadiah tempat pertama bagi Anugerah Media Sukma Perak 2018 yang dimenangi Saiyed Ismail Saiyed Hussin dari TV3 bertajuk “Hari Malaysia: Atlet Sukma Pemangkin Perpaduan” bagi kategori laporan berita terbaik (media elektronik)

Manakala bagi​​​​​​​ kategori laporan berita terbaik (media cetak), tempat pertama dimenangi Pook Sook Yee dari Sin Chiew Daily bertajuk “Meriahnya Di Dalam dan Luar Stadium” sementara bagi kategori fotografi terbaik, tempat pertama dimenangi Sadiq Asyraf Mohd Yusof dari Tribes.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :