SELANGOR

Kerajaan Selangor masih kaji pengharaman beg plastik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 22 SEPT: Kerajaan Selangor masih lagi dalam peringkat kajian bagi mengharamkan penggunaan beg plastik di negeri ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, pihaknya masih lagi mengkaji sama ada polisi pengharaman itu akan dilakukan bersama Kerajaan Persekutuan mahupun dilaksanakan bersendirian pada peringkat negeri.

“Kerajaan Selangor juga masih memberikan tempoh kepada pengusaha yang terlibat supaya menghabiskan stok sedia ada.

“Perbincangan bagi mengharamkan penggunaan beg plastik ini akan dilakukan bersama banyak pihak, dan ia akan dilakukan dengan teliti, bagaimanapun kita tidak dapat memberi waktu jangkaan perlaksanaannya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pembersihan Pantai Peringkat Negeri Selangor di Pantai Morib, hari ini.

Loy Sian berkata, pihaknya memandang serius isu penggunaan beg plastik kerana ia memberi impak yang tidak baik kepada negeri.

“Banyak masalah yang akan timbul sekiranya isu ini tidak ditangani dengan serius, disebabkan itu kita akan terus mengkaji untuk mengharamkan penggunaan beg plastik pada masa akan datang,” katanya.

Bermula 1 Januari 2017, premis perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).


Pengarang :