NASIONAL

Kerajaan setuju turunkan had umur umur pengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kabinet hari ini bersetuju menurunkan had umur mengundi, pada usia 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Kabinet bersetuju meminda perlembagaan had umur dan akan membawa perkara itu dalam sidang Parlimen akan datang.

“Kita memerlukan undian 2/3 daripada ahli parlimen dan saya sudah berjumpa dengan jemaah menteri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Peguam Negara Tommy Thomas yang bersetuju dengan perkara ini,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, bagi merealisasikan objektif itu, beberapa pindaan juga akan dilakukan supaya sistem pilihan raya lebih telus dan adil.

Katanya, beliau akan turun padang berjumpa dengan golongan muda termasuk parti lawan bagi mendapatkan input.

“Saya juga akan berjumpa dengan pemimpin anak muda termasuk dari parti lawan untuk mendapatkan reaksi dan input mereka dalam hal ini dan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan agenda anak muda,” katanya.


Pengarang :