NASIONAL

Kerajaan teliti semula projek ‘Forest City’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Pembangunan Forest City akan diteliti semula kerana terma penjualan unit kediamannya dilihat tidak memberi pulangan keuntungan kepada negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah penilaian semula projek membabitkan pelaburan AS$100 bilion (RM411 bilion) itu turut mengundang kemasukan warga China secara besar-besaran ke Johor.

“Perlu difahami bahawa keputusan kerajaan untuk meneliti semula pembangunan Forest City kerana transaksi projek ini tidak dilaksanakan di Johor atau mana-mana tempat di Malaysia.

“Mereka mempunyai program khas diberikan Kerajaan China, yang menggariskan jika rakyatnya membuat sejumlah pelaburan tertentu akan mendapat manfaat unit kediaman di Forest City secara percuma.

“Oleh itu, sudah pasti kita tidak biarkan perkara seperti ini berlaku kerana pembayaran cukai dan pelaksanaan transaksi, masing-masing dilaksanakan di China.

“Ia langsung tidak memberikan manfaat kepada kita, khususnya sektor ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Jelasnya, kebimbangan lain ketika ini turut terarah keapda hasrat Kerajaan China membawa masuk 700,000 rakyatnya ke negara ini dengan memiliki kediaman di Forest City.

Katanya, sebarang pelaburan asing dari China sepatutnya menjana kesan limpah ekonomi terhadap penggiat industri tempatan di Malaysia, berbanding terus memeterai perjanjian ‘berat sebelah’ sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :