BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tumpu pulih jentera pentadbiran, kedudukan kewangan negara

LONDON 24 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan dua tumpuan utama diberikan melibatkan pemulihan jentera pentadbiran yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada sesi pertemuan dan dialog bersama hampir 200 rakyat Malaysia di United Kingdom pada Ahad, Mahathir berkata, kerosakan kewangan negara dan jentera pentadbiran oleh parti pemerintah terdahulu boleh menyebabkan Malaysia hancur jika parti sama kekal menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“(Malaysia) jadi kawasan ditakluk orang lain, kita hilang kuasa di negara sendiri,” katanya mengenai kesan kerosakan tersebut, sambil menambah rakyat memberi sokongan kepada PH untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) kerana ia tidak memberi tumpuan kepada kebaikan negara dan pembangunan negara serta masalah rakyat yang tertekan dengan isu kos sara hidup.

Dalam pertemuan yang berlangsung dalam rangka lawatan kerja peringkat pertamanya ke United Kingdom, Mahathir berkata, jentera pentadbiran negara dirosakkan sehingga mereka menjadi korup dengan terlibat dengan rasuah daripada peringkat tertinggi hingga rendah.

Beliau juga berkata, jentera pentadbiran itu juga memihak kepada parti pemerintah hingga sanggup berkempen secara langsung dan terbuka untuk membantu BN walaupun mereka sepatutnya bersikap berkecuali.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :