BERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama INPENS-DAIKIN lahir graduan berkemahiran tinggi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerjasama Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) bersama syarikat pengeluar produk industri memberi impak positif bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri melihat usaha dirintis INPENS sewajarnya digalakkan dalam menghadapi perkembangan revolusi industri 4.0.

“Saya sangat gembira apabila INPENS menjalin kerjasama dengan DAIKIN iaitu syarikat pengeluar penghawa dingin, Hong Leong Yamaha (motosikal) dan Perodua (automotif) bagi membantu pelajar dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Ia akan membantu kebolehpasaran kelahiran graduannya kerana mereka bukan hanya dilatih secara umum tetapi juga diberikan pengkhususan pada sesuatu bidang,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen INPENS 2018 Kali Ke-22, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil dan diploma kepada 594 graduan INPENS yang menamatkan pengajian mereka di kolej berkenaan.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman.

Amirudin berkata, sebagai institut pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri, INPENS sentiasa memberi tumpuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam memastikan penghasilan pelajar memenuhi pasaran industri.

“Fokus sebegini (kerjasama dengan pihak berkaitan) sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada lulusan daripada INPENS,” katanya.


Pengarang :