NASIONAL

Keterangan lemah, Guan Eng bebas tuduhan rasuah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 SEPT: Jabatan Peguam Negara mengesahkan keputusan ‘nolle prosequi’ untuk tidak meneruskan pendakwaan berhubung pertuduhan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon kerana keterangan dilemahkan secara substantif.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti keterangan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenyataan dikemukakan saksi pendakwaan di mahkamah.

“Saya sudah membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah seksyen 23 Akta SPRM dan pertuduhan kedua di bawah seksyen 165 Akta Keseksaan dilemahkan secara substantif.

“Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

“Selepas membuat kesimpulan, saya berpendapat mungkin saya tidak memenuhi tanggungjawab selaku Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan selepas mengetahui kes terhadap Guan Eng dan Li Khoon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini berhubung kes Guan Eng dan Li Khoon dan menegaskan keputusan dibuat tanpa pengaruh luar.

Mohamad Hanafiah berkata, terdapat firma guaman yang mewakili pengadu menghantar surat membantah cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap kedua individu terbabit.

“Namun, saya sudah menjawab surat itu dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes berdasarkan bukti sedia ada dan undang-undang yang mana dilakukan tanpa pilih kasih.

“Bagaimanapun, ia perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan ialah kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya.

“Dalam kes ini, saya sudah merahsiakan keputusan sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang keputusan itu akan dibocorkan dan akan menyebabkan gangguan tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan keputusan itu terlalu sulit, beliau hanya memaklumkannya kepada Peguam Negara, pada jam 9.44 pagi semalam.

Pada masa sama, katanya, pertuduhan dan keputusan kes Guan Eng serta Li Koon dibuat tanpa campur tangan daripada Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Peguam Negara sudah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan kes itu dan tidak akan terbabit dalam membuat keputusan yang bakal diputuskan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Katanya, amalan ‘nolle prosequi’ bukan luar biasa , sebaliknya sudah diamalkan dalam kes lain apabila menerima representasi daripada peguam dan selepas menemui keterangan baharu atau apabila keterangan menjadi lemah selepas diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas Ketua Menteri itu dan ahli perniagaan atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.


Pengarang :