BERITA UTAMASELANGOR

Keunggulan Selangor sebagai kuasa besar ekonomi perlu terus dianyam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Keunggulan Selangor sebagai kuasa besar ekonomi Malaysia perlu terus dianyam bersama dengan iltizam kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri secara tuntas menyatakan komitmen dalam memastikan sebuah pentadbiran yang berintegriti.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak sama sekali berkompromi berkaitan isu integriti dan kebertanggungjawaban.

“Menurut Edmund Burke yang menulis dalam Reflections on the Revolution in France berkata,
untuk membuatkan kita menyayangi negeri kita, maka negeri itu wajiblah menjadi negeri yang penyayang.

“Bermula 2008 hingga kini, selepas Pakatan Rakyat mengambilalih dan kemudiannya selepas PRU ke-14, Pakatan Harapan pula menerajui, Kerajaan Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Bermula dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, kemudiannya digarap pula agenda Inisiatif Peduli Rakyat dan sekarang ini kita mengangkat tema Maju Bersama sebagai teras adalah kerana kita tidak mahu hatta seorang-pun rakyat Negeri Selangor tertinggal mahupun tersisih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin turut mengingatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar yang juga Ketua Pembangkang, Rizam Ismail bahawa Selangor sudah lama ke hadapan dalam keprihatinannya terhadap rakyat berbanding negeri lain.

Pada masa sama, beliau berkata, Selangor akan terus menjadi unggul serta meniti di bibir rakyat Malaysia sekiranya kekayaan negeri diurus dengan penuh tanggungjawab dan cekap.

“Tidak ada gunanya Selangor menjadi, dengan izin, ‘economic powerhouse’, kuasa besar ekonomi, namun gagal mengangkat martabat hidup rakyat manakala pemimpinnya terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan Negeri untuk berikhtiar sekuat mungkin mendapatkan agihan yang lebih baik buat Selangor berteraskan falsafah federalisme terutamanya federalisme fiskal.

“Fakta yang tidak boleh disangkal, sudah pasti sumbangan 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan mengambil kira bahawa Selangor juga menjadi Lembah Kemakmuran buat ramai rakyat dari negeri lain, menumpang mencari rezeki dan berteduh di negeri itu.

“Kerana itu tidak salah untuk menyebut Selangor merupakan ‘microcosm’ Malaysia. Realitinya rakyat berbilang kaum dan dari pelbagai negeri bersama-sama mencari rezeki di sini.

“Makanya Kerajaan Pusat, saya berharap mempertimbangkan hasrat kita mahukan agihan kekayaan serta kerjasama pembangunan yang lebih erat sesuai dengan motto Jata Negara iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” katanya.


Pengarang :