SELANGOR

Khairuddin gigih tingkat taraf hidup masyarakat Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 SEPT: Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat Paya Jaras diperhebatkan lagi dengan pelbagai program khasnya melibatkan golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya menambahbaik tapak-tapak penjaja sekitar Paya Jaras bagi memastikan lebih ramai belia berpeluang berniaga bagi menambah pendapatan keluarga.

“Banyak usaha telah dan sedang dijalankan untuk kepentingan masyarakat setempat seperti saya sebut semasa kempen pilihan raya lalu, antaranya kita sedang menyiapkan kiosk peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh.

“Kita juga bertemu dengan Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) bagi melaksanakan pasar bertingkat menggantikan tapak pasar malam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, beliau juga sering mengadakan program dialog dengan komuniti peniaga dan pelbagai bengkel anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) untuk mereka yang berminat memulakan perusahaan secara kecil-kecilan.

Terdahulu, Paya Jaras turut diiktiraf sebagai Hub Floris Sungai Buloh ekoran pertumbuhan pesat industri itu di beberapa lokasi strategik yang mampu menarik minat orang ramai daripada serata Selangor untuk ke Sungai Buloh.

Pengiktirafan itu bukan sahaja membantu mempromosi Sungai Buloh sebagai Hub Floris, malah turut menjana ekonomi masyarakat peniaga di sini khasnya mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan.

Selain bidang perniagaan, Mohd Khairuddin turut menekankan aspek pendidikan di mana usaha mendapatkan bangunan baru Sekolah Rendah Agama Merbau Sempak giat dijalankan bagi menggantikan bangunan lama yang uzur.

“Kita telah buat permohonan dapatkan bajet ini dalam Belanjawan 2019 nanti,” katanya lagi.

Katanya, beliau turut mementingkan aspek kehidupan lebih selesa bagi masyarakat Paya Jaras dengan memastikan projek rumah mampu milik Rumah SelangorKu dijalankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Mohd Khairuddin menganggap usaha merealisasikan projek Rumah SelangorKu di Paya Jaras merupakan antara fokus terpenting beliau dalam memastikan masyarakat di DUN itu memiliki kediaman sendiri.


Pengarang :