SELANGOR

Komited teruskan manfaat TAWAS, jaga kebajikan rakyat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 24 SEPT: Kerajaan Negeri komited memastikan anak-anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat akan menerima manfaat Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, bantuan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, bantuan berkenaan diberi secara adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik bagi meringankan beban rakyat.

“Sesiapa sahaja yang sudah cukup syarat dan kelayakan, mereka boleh memohon yang kemudiannya akan diproses untuk kelulusan,” katanya.

Terdahulu, Suee Lim menyerahkan cek khairat kematian ahli Tawas kepada waris Allahyarham Muhammad Qayyum Arith Muhaimin yang meninggal dunia pada usia enam bulan.

Muhammad Qayyum dilaporkan meninggal dunia ekoran penyakit mulut.

Sumbangan berjumlah RM1,500 itu disampaikan Suee Lim kepada bapa bayi itu, Arith Muhaimin Jamadi yang menetap di Tali Air 7, Sungai Leman, di sini.

TAWAS diuruskan di bawah YAWAS dan terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dengan permohonannya perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun.

Pada 17 Ogos 2015, Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor diluluskan bertujuan memastikan Ahli TAWAS menerima RM1, 500 apabila mencapai usia 18 tahun.

Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500 turut diperkenalkan dan diberikan kepada waris jika ahlinya meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

Sehingga kini, seramai 323,186 ahli berdaftar direkodkan.


Pengarang :