SELANGORSENI

Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, pusat penyebaran ilmu seni khat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor mampu diangkat sebagai salah sebuah pusat penyebaran ilmu dan pendidikan seni khat yang unggul di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana seni khat antara tulisan yang menjadi akar umbi dalam perhubungan masyarakat Islam sejak dahulu lagi.

Katanya, ia turut menjadi bahasa komunikasi dalam perniagaan dan perhubungan di peringkat Asia Tenggara, bahkan dunia pada suatu ketika dahulu.

“Selaras dengan matlamat untuk membangunkan rakyat jelata di negeri ini dengan ilmu, iman dan kemajuan, maka diharapkan agar kompleks ini berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu dan pendidikan.

“Saya amat tertarik dengan seni khat dihasilkan di sini kerana ia berasaskan kepada keindahan seni khat yang juga lahir daripada perkembangan seni penulisan ayat suci al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Al-Quran dan Kesenian Islam Antarabangsa Selangor, di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata, seni khat adalah tulisan yang bermartabat selain mempunyai kedudukan tersendiri terhadap golongan bangsawan serta mereka yang menguasai seni tulisan khat.

“Walaupun ia merupakan tulisan yang berseni dan lembut, tetapi ada tempatnya ia tegas.

“Lebih daripada itu, seni khat bernafas kudus memandangkan ia diguna pakai dalam menghasilkan manuskrip yang mewadahkan ayat suci al-Quran.

“Jadi, inilah asas menghasilkan berbagai bidang seni Islam yang kreatif dan menakjubkan serta dapat disaksikan di Kompleks Seni Islam ini,” katanya.


Pengarang :