SELANGOR

Konsert Fenomena D’Pop kumpul dana RM10,000

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Konsert Fenomena D’Pop anjuran Wide Lanes Event & Management, di Dewan Banquet Platinum Menara Felda, di sini, malam tadi berjaya mengumpul dana berjumlah RM10,000.

Dana hasil tajaan meja membabitkan syarikat korporat, agensi kerajaan, kelab peminat dan individu perseorangan itu disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Lebih bermakna, konsert amal yang julung kali diadakan itu mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) selaku penaung.

Yang Dipertua PEKAWANIS, Masdiana Muhamad berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama menyertai aktiviti berkenaan, sekali gus menjadikan pertubuhan itu lebih dikenali ramai.

“Saya ucapkan tahniah kepada pengajur dan penderma serta bersyukur atas sambutan diberikan.

”Semoga ia dapat diteruskan, pada masa akan datang dan ini menjadi landasan terbaik buat PEKAWANIS sebagai tanda keprihatinan kami yang menyokong penganjuran program amal sebegini,” katanya kepada Media Selangor.

Konsert itu menghimpunkan artis genre pop dan dangdut yang popular pada era 70 hingga 90 an, sekali gus mengimbau nostalgia hadirin yang hadir.

Kategori pop menampilkan nama besar seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Nassier Wahab, Zamani, Siti Nordiana, Rohana Jalil dan Zur Eda.

Sementara artis dangdut menyaksikan kemunculan Dato’ M Daud Kilau, Haiza dan Amelina yang membuat kemunculan setelah lama menyepi dalam industri.

Hadir sama YAM Raja Shuibah Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datin Seri Shamshida Taharin dan wakil MAKNA, Farahida Datuk Mohd Farid.

Jualan tiket dibahagikan kepada empat kategori iaitu RM1,000 (Platinum); RM500 (Emas); RM300 (Perak) dan RM200 seorang untuk ruang duduk Zamrud atau Emerald.


Pengarang :