EKONOMI

Kontrak niaga hadapan KLCI dijangka diniaga rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan pelabur akan mengambil petunjuk daripada asas pasaran tunai, yang mungkin meneruskan aliran menurun.

Peniaga berkata, perkembangan semasa yang tidak menggalakkan di peringkat luaran, dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus mengancam unjuran global, akan menjejaskan minat terhadap ekuiti.

“China mahu kesaksamaan namun Presiden AS, Donald Trump menyukarkannya dan mahu mengena cadangan tarif ke atas US$200 bilion lagi nilai barangan dari China lebih cepat berbanding jangkaan selain mengancam untuk mengeluarkan negara itu daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“Keyakinan terhadap unjuran perdagangan global adalah suram dan kita memerlukan laporan positif untuk mencetuskan minat pelabur,” katanya kepada Bernama.

Walaupun sentimen pasaran negatif, prestasi keseluruhan pasaran niaga hadapan pada minggu yang baru berakhir adalah lebih baik berbanding minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat bagi cuti umum sempena Hari Kebangsaan.

Berasaskan Khamis ke Jumaat, Ogos 2018 meningkat 19.5 mata kepada 1,821.5, September 2018 menokok 14 mata kepada 1,808.5, Disember 2018 bertambah 10 mata kepada 1,800.5 dan Mac 2019 naik 10.5 mata kepada 1,797.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 81,067 lot daripada 27,530 lot manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 40,070 kontrak daripada 6,476 kontrak.

Penanda aras FBM KLCI meningkat 11.07 mata kepada 1,819.66 daripada 1,808.59 minggu lepas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :