EKONOMISELANGOR

Konvensyen Bandar Pintar Selangor fokus 3 isu utama

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018 menyaksikan lebih 200 pempamer dalam bidang berkenaan, pada penganjuran kali ketiga itu.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, konvensyen terbabit adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIE 2018) yang merangkumi tiga tema iaitu pembuatan, revolusi runcit dan ‘startup fest’.

Katanya, persidangan itu juga akan meneroka topik ‘Traffic and Mobility’, ‘Communications and Connectivity’ dan ‘Smart Waste Management’.

“Ia menyaksikan bandar antarabangsa dan tempatan, CIOs, pemimpin akademik serta pakar industri dari United Kingdom, China, Indonesia juga Perancis.

“Selain itu, ia turut membabitkan peneyrtaan gergasi teknologi global seperti Microsoft, Huawei, Microsoft, Axiata, German Malaysia Institute (GMI) dan MaGIC.

“Antara topik yang akan dibincangkan adalah Revolusi Perindustrian 4.0, AI, Fintech dan blockchain serta pembuatan mesin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, turut diadakan meja bulat antara 150 Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, di seluruh Malaysia untuk berkongsi pendapat dalam usaha menjadikan negeri masing-masing sebagai ‘Smart State’.

Beliau berkata, Selangor juga akan berkongsi pengalaman dan pandangan sebagai negeri pertama yang melaksanakan gagasan ‘Smart State’ itu.

“Kita berharap akan dapat bekerjasama selain berkongsi pengalaman selama empat tahun melaksanakan gagasan ini dan berharap pendekatan efektif dapat dilaksanakan.

“Antara kejayaan dicapai Selangor dalam merealisasikan salah satu usaha ke arah ‘Smart State’ adalah memperkenalkan bas percuma.

“Setakat ini, kita menerima lebih 10 juta pengguna perkhidmatan itu dan kita menyasarkan 133 bas disediakan akhir tahun ini,” katanya.

Konvensyen itu akan berlangsung bermula 13 September hingga 15 September ini.

 


Pengarang :