NASIONAL

KPDNHEP siapkan pelan menyeluruh pelaksanaan SST

BUTTERWORTH 1 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyiapkan pelan tindakan menyeluruh berhubung pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, majlis tindakan itu yang akan bermesyuarat buat pertama kali pada hujung bulan ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

“Pelan tindakan itu turut merangkumi jadual penguatkuasaan dan operasi yang dijalankan serta akan dilaksanakan berhubung sistem SST. Kami akan bentangkan semua maklum balas daripada rakyat berhubung punca dan kos sara hidup menerusi beberapa kementerian terutamanya KDPNHEP yang melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

“Maklumat yang diperolehi akan dikaji dan dibentangkan sebelum satu rangka strategi diambil bagi membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Kesedaran Pengguna Sempena Hari Kebangsaan ke-61 di Pangsapuri Ampang Jajar di sini, hari ini.

Konvoi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan 30 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi yang akan menjelajah sejauh 42 kilometer di Pulau Pinang itu akan berhenti di beberapa kawasan terpilih bagi menyampaikan maklumat mengenai sistem cukai SST kepada pengguna.

Saifuddin Nasution yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Bharu berkata pasukan penguatkuasaan KPDNHEP juga akan meneruskan pemantauan dan operasi bagi memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan serta perkhidmatan.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dan aduan kepada mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara jika mendapati peniaga menaikkan atau memanipulasi harga barangan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka (peniaga),” katanya.

Katanya KPDNHEP bersama-sama Kementerian Kewangan akan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk memberi penerangan lebih jelas mengenai apa yang terkandung dalam SST dan barangan yang dikenakan cukai.

“Kementerian Kewangan menerusi Menterinya Lim Guan Eng telah memulakan jelajah itu dan saya akan menyertainya Isnin ini untuk memberi penerangan berhubung SST dari segi pengguna, penguatkuasaan serta pemantauan yang dijalankan KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata tidak semua barangan dikenakan cukai malah peratusan cukai bagi setiap barangan yang tersenarai juga berbeza iaitu kadar SST adalah kosong peratus, lima peratus, enam peratus dan 10 peratus mengikut barangan.

“Kebanyakan barangan makanan dikenakan cukai dengan kadar lima peratus berbanding barang lain yang dikenakan kadar 10 peratus. Selain itu, orang ramai juga akan memperoleh maklumat bahawa SST dikenakan di peringkat pengeluar atau sumber dan tidak dikenakan kepada pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pendapatan negara juga akan menurun sebanyak RM2 bilion dengan pelaksanaan SST, namun ia sebenarnya memberi gambaran bahawa rakyat mempunyai lebihan duit untuk berbelanja.

Beliau berkata SST menyumbang kepada pendapatan negara walaupun ia dijangkakan menyumbang RM2 bilion berbanding sistem cukai sebelum ini iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4 bilion.

“Keberkesanan sesuatu sistem cukai adalah berdasarkan jumlah kutipan yang akan diterima kerajaan dan melalui SST walaupun berlaku penurunan berjumlah RM2 bilion dalam pendapatan negara namun rakyat mempunyai lebihan wang bagi dibelanjakan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :