PBTSELANGOR

Kuala Kubu Bharu kini tanpa tunai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kuala Kubu Bharu menjadi perintis dalam pelaksanaan transaksi pembayaran tanpa tunai di daerah Hulu Selangor melalui aplikasi e-dompet dan boosts.

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata, lokasi itu adalah perintis sebelum sistem terbabit diperluaskan ke seluruh kawasan.

Katanya, ia adalah kerjasama Smart State Delivery Unit (SSDU) dan Syarikat Telekomunikasi Axiata sebagai rakan kongsi pemasaran MDHS dalam menjayakan program terbabit.

“MDHS menyahut cabaran Kerajaan Negeri seiring arus pembangunan inovasi bagi menjadi bandar masyarakat ‘cashless’, iaitu masyarakat tanpa tunai atau cashless society dengan segala urusniaga tanpa membabitkan wang fizikal,” katanya dalam kenyataan.

MDHS berkata, pelaksanaan transaksi tanpa tunai berjaya dilaksanakan di bazar Ramadan Mampan 2018 daerah Hulu Selangor.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung mewajibkan peniaga menggunakan aplikasi e-wallet atau boost bagi menjayakannya.

“Penggunaan boost ini juga diperluaskan kepada semua peniaga pasar malam dan peniaga di premis Bandar Kuala Kubu Bharu.

“MDHS menyasarkan seluruh komuniti bandar Kuala Kubu Bharu sebagai masyarakat pertama tanpa tunai sebelum penghujung tahun,” katanya.


Pengarang :