SELANGOR

Kualiti udara di beberapa daerah pada tahap sederhana

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor direkodkan berada pada tahap sederhana, merujuk laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi sehingga jam 10 pagi tadi ialah di daerah Klang, iaitu dengan bacaan 92, mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Sementara Johan Setia Klang yang sebelum ini pernah mencatatkan kualiti udara paling tidak sihat pula mencatatkan bacaan IPU, pada paras 76.

Sementara itu bagi lokasi lain, Shah Alam dan Banting, masing-masing bacaan IPU pada paras 70, Cheras, 68 dan Petaling Jaya 67.

Mengikut laman sesawang itu lagi, Klang mencatatkan kualiti udara paling tinggi bagi Semenanjung Malaysia berbanding negeri lain.

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut berkenaan bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman sesawang apims.doe.gov.my


Pengarang :