SASTERA

Kucing & Proletariat

Oleh Lokman Hakim

Berjalan-jalan di pusat beli-belah sering menemukan aku dengan pengalaman aneh yang biasanya berakhir dengan kekesalan. Ada waktunya aku akan terbeli sesuatu yang tak aku pakai. Sebagai contoh, minggu lepas aku terbeli raket badminton sedangkan kaki aku sering diserang gout. Bulan lepas, aku terbeli papan catur sedangkan aku tiada kawan yang pandai bermain catur. Jadi, apabila masuk ke pusat membeli-belah dengan niat untuk cuci mata, aku pastikan dompetku tidak ada kad debit mahupun kad kredit. Wang yang tersisip cukup-cukup untuk menikmati hidangan di restoran berseorangan. Aku harus cermat jika tidak mahu terperangkap dalam kemelut catuan makanan di hujung bulan nanti.

Entah mengapa, boleh pula aku terjebak menatap kucing-kucing mahal di sebuah kedai haiwan. Seekor demi seekor aku tatap tanpa menyentuh kaca kurungannya dek gerun dengan harga yang tertera. Majoritinya tidur dan buat tak endah dengan pelanggan yang keluar masuk tanpa henti. Cuma ada seekor kucing saja yang mengiau padaku. Nadanya sedih. Namun, aku seorang yang kejam, maka aku berlalu pergi tanpa memberi perhatian pada kucing tersebut. Teringat mukanya yang bulat dan gebu. Harganya beribu-ribu. Entah mengapa, wajahnya mengingatkanku pada Karl Marx. Cara renungannya seolah-olah memberitahu: Awas manusia! Kucing akan menakluk kalian tidak lama lagi!

Ah, kasihannya, pengasas komunisme terperangkap dalam sangkar menjadi bahan transaksi sang kapitalis. Itupun masih ada hati nak ugut-ugut orang.

Semakin jauh dari kedai haiwan itu, aku mula memikirkan kucing berwajah Karl Marx tersebut. Andai aku kaya, mungkin aku akan beli kucing itu dan bebaskannya ke mana-mana. Aku tak mesra dengan kucing. Aku tak beri kucing makan kalau ia datang menggesel-geselkan badannya pada kakiku semasa menjamu selera. Mengusapnya jauh sekali. Kadangkala aku kuis saja kucing itu ke tepi. Tetapi tidaklah tergamak lagi hendak menendangnya. Tak sanggup rasanya menjadi bahan tular di media sosial.

Malam itu aku termenung panjang. Mata tak mahu pejam. Bayangan kucing berwajah Karl Marx silih berganti. Aku memikirkan bagaimana dunia kapitalisme ini telah memberi peluang untuk apa jua subjek dan objek untuk diperdagangkan. Kucing, hati, organ, kanak-kanak, ahli keluarga, bimbo dan agama. Apa yang tidak boleh ‘dijual’ manusia? Hampir tiada.

Aku hairan. Bagaimana keinginan untuk membebaskan kucing itu boleh bertunas mekar dalam kepala ini? Wajah garang, renungan seperti berniat mahu menakluk manusia. Itulah kucing yang kini aku gelarkan Karl Marx. Karl Marx seolah-olah menyeruku agar membebaskannya. Aku jatuh kasihan pula pada Karl Marx.

Sebentar, aku seorang yang tidak berhati perut. Perasaan kasihan macam ini sepatutnya sangat menjengkelkan. Bercanggah dengan sifat seorang lelaki proletariat yang sengkek hati budi dan juga wang. Aku kenal siapa diriku. Membebaskan kucing sambil mengharap kucing itu membalas dengan geselan manja bukanlah agendaku. Dalam kepala, tidaklah aku mahu menjaga kucing itu nanti andai ia berjaya dibebaskan. Mungkin aku akan lepaskan kucing itu di mana-mana tempat yang penuh dengan makanan. Tepi restoran contohnya. Jika tidakpun aku letak saja di kawasan perumahan. Kedengaran seperti tidak bertanggungjawab. Lagipun kucing mahal sebegitu pasti perlukan makanan mahal. Mengada-ada itu sifatnya. Itu bukan kucing baka biasa-biasa. Kacuk sana, kacuk sini. Bukan juga kucing proletariat. Suruh tangkap tikus pasti gagal. Apatah lagi sekadar bagi lebihan lauk ikan setelah makan malam mahupun makan tengah hari. Mahunya ditepis ataupun dibuatnya acuh tak acuh nanti.

Esok paginya, aku masih terbayang-bayang akan Karl Marx, tidak sudah-sudah. Tanpa membuang masa, aku bersiap-siap lalu memeriksa baki wang di dalam akaun bank melalui telefon bimbit. Jumlahnya mencukupi. Aku harap Karl Marx akan mengiau padaku seperti semalam, selaku isyarat bahawasanya aku telah dipilih selaku penyelamatnya.

Apabila aku tiba di kedai haiwan tersebut, aku dapati Karl Marx ada lagi di tempatnya. Kucing itu mengiau malas, lalu tidur membentuk bola bulu yang gebu. Ketika itu, ada beberapa orang pelanggan sedang tawar-menawar dengan pekedai, tanpa aku ketahui haiwan apa yang hendak dibeli mereka. Seorang makcik berusia 60-an bersama budak perempuan kecil berambut ekor kuda. Dari aksesori perhiasan dan pakaian, mudah mengetahui status kewangan mereka secara kasar. Aku ada firasat, mereka mampu membeli apa jua haiwan di dalam kedai ini tanpa perlu berfikir banyak kali. Mungkin juga mereka mampu membeli aku kalau aku tak ada maruah.

Entahlah.

Perlahan-lahan sangkar berisi Karl Marx diangkut mereka. Aku memerhatikan sahaja kucing itu mengiau-ngiau pada makcik berusia 60-an itu, begitu galak. Pada pendengaranku, ia kelihatan seperti sedang mendendangkan lagu perang sebelum penaklukan ke atas bangsa manusia dilancarkan. Budak perempuan tadi merapatkan mukanya pada sangkar untuk meneliti keadaan Karl Marx yang agak montel. Karl Marx menyeringai garang tetapi budak itu ketawa pula melihatnya.

Ketika itu, aku memikirkan mengapa kapitalisme sentiasa menjadi sistem yang sesuai digunakan manusia. Melihat kucing berwajah Karl Marx itu sudah memadai. Dia sentiasa murung, tidak punya visi dan memerlukan manusia untuk membebaskannya dari sangkar. Tatkala Karl Marx mahu dibawa pergi, ia sempat berpaling padaku, mengiau-ngiau penuh simpati. Aku seorang yang tak berhati perut, lalu aku meninggalkan kedai haiwan itu. Satu penyesalan bertemu dengan kau, Karl Marx.


Pengarang :