SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Kuota 30% penting capai kesaksamaan gender

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kuota 30 peratus penglibatan wanita penting bagi mencapai kesaksamaan gender, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Siti Mariah berkata, penyertaan golongan wanita dalam pembuat keputusan dapat memperbaiki kedudukan golongan itu dalam sektor ekonomi, sosial dan politik.

Katanya, ia sekali gus memecah stereotaip yang membantutkan keupayaan wanita dalam memainkan peranan utama serta positif dalam kehidupan harian.

“Secara keseluruhannya, sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar ini hampir tercapai namun pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan ia akan terus meningkat.

“Pelbagai usaha dan inisiatif berterusan akan terus digarap oleh Kerajaan Negeri bagi mendapatkan penglibatan wanita yang lebih meluas,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Malah, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri juga percaya dan komited dasar 30 peratus boleh tercapai dan pencapaian itu bukan setakat memberi manfaat kepada kaum wanita tetapi pembangunan Negeri yang lebih mampan.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan penyertaan dan kepimpinan wanita dalam perkhidmatan awam dan sektor korporat, Kerajaan Negeri berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif.

“Antara inisiatif adalah pengumuman Dasar Wanita Selangor pada Oktober 2017 di mana Dasar Wanita ini tertumpu kepada tujuh matlamat utama merangkumi pembangunan gender, status sosio ekonomi wanita terpinggir, merapatkan jurang gender dan aspek pasaran buruh.

“Selain itu, dasar dan pelan ini turut mengetengahkan penyertaan wanita dalam perwakilan dan politik serta kesihatan dan mobiliti wanita. Ia turut merangkumi kebebasan wanita daripada keganasan dan menzahirkan Bakat Kreatif dan Inovatif Wanita,”katanya.

Manakala, katanya, inisiatif kedua pula adalah Kerajaan Negeri juga menyalurkan sejumlah RM450,000 kepada Institut Wanita Berdaya(IWB) bagi peruntukan Geran Penyelidikan.

“Malah, Kerajaan Negeri juga komited memperkasakan 56 buah Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh Selangor.

“Jika IWB berperanan sebagai badan pemikir kepada dasar dan polisi mesra wanita, PWB pula berperanan sebagai anggota pelaksana dasar dan polisi tersebut,” katanya.


Pengarang :