Selangorkini
NASIONAL

Larangan guna straw hanya untuk peniaga, pengusaha kedai makan

KUALA LUMPUR 22 SEPT: Penguatkuasaan larangan penggunaan straw minuman plastik berkuat kuasa 1 Jan 2020 ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makan yang merupakan pemegang lesen dan bukan orang ramai.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata larangan itu akan tertera dalam syarat-syarat lesen perniagaan mulai 1 Jan 2019.

“Pada masa yang sama, straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan turut disediakan sebagai alternatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Kempen-kempen kesedaran berhubung kesan negatif penggunaan straw plastik konvensional ini akan dilaksanakan sepanjang tahun 2019 sehingga larangan itu berkuat kuasa, katanya.

Adnan berkata pihaknya juga akan mengecualikan sebarang tindakan kepada golongan kurang upaya dan pesakit yang memerlukan straw dan bahan-bahan plastik dalam kehidupan harian mereka.

Sebagai pengganti kepada straw plastik konvensional, katanya, straw daripada bahan-bahan biodegradasi ataupun kertas boleh digunakan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :