SELANGORSUKANKINI

Lebih 100 pemain bakal pamer aksi di PREC Selangor 2nd ATF 14 & U Series Tournament 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kira-kira 100 pemain dari 16 negara bakal beraksi di PREC Selangor 2nd ATF 14 & U Series Tournament 2018 yang dijadual berlangsung, di Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya, bermula 24 hingga 30 September ini.

Presiden Persatuan Tenis Selangor (STA), Dato’ Mohamad Taufik Omar berkata, kejohanan bagi meraih mata itu diiktiraf dalam kedudukan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sebagai kejohanan bertaraf ranking remaja kebangsaan.

“Antara negara yang akan bertanding dalam perlawanan ini termasuk Malaysia, Australia, Perancis, Hong Kong, India, Indonesia, Itali, Korea, Thailand, Amerika, China, Uzbakistan, Yemen, Nepal, Filipina dan Latvia.

“Kejohanan ini bertaraf gred A dan pertama kali diberikan kepada Malaysia selain penyertaan daripada pemain yang mempunyai kedudukan tinggi, dalam Persatuan Tenis ATF.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan lebih ramai pemain tenis muda berada dalam kedudukan dan ia dipilih melalui program ‘monthly medal’ yang dijalankan, setiap minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PREC Selangor 2nd ATF 14 & U Series Tournament 2018, di Black Box Shah Alam Convention Centre Mall, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pengurus Kewangan Korporat PREC, Netty Hazreena Abd Malek dan Pengarah Kejohanan, Mohamad Rahizam Abdul Rahim.

Mohamad Tahir berkata, pasukan Malaysia dibarisi 16 pemain bagi kategori lelaki, manakala 14 pemain kategori perempuan.

Katanya, pusingan kelayakan kejohanan pula akan diadakan pada 24 dan 25 September ini dengan lapan pemain daripada setiap kategori bakal melayakkan diri ke undian utama.

“Bagaimanapun kategori lelaki, Hayden Khoo, Tan Lin En dan Zhahin Ilyas sudah melayakkan diri ke undian utama, manakala kategori perempuan Lim Zan Ning, Lin Sze Xuan dan Iman Syuhada antara tiga terbaik yang akan berada, di undian utama,” katanya.

Beliau berharap, kejohanan terbabit memberi manfaat kepada pemain tenis muda tempatan untuk meningkatan mutu pencapaian sukan itu ke arah lebih baik.

Terdahulu, kejohanan itu mendapat kerjasama daripada PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) selaku penaja utama buat kali kedua kepada PTS.

Penganjurannya selari dengan misi PREC bagi empat teras utama tanggungjawab sosial korporat iaitu keusahawanan, sukan, pendidikan dan masyarakat.


Pengarang :