SELANGOR

Lebih 200 penduduk Pulau Ketam gamatkan Pesta Tanglung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 30 SEPT: Lebih 200 penduduk Pulau Ketam, di sini, memeriahkan Pesta Tanglung anjuran bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Klang dan Persatuan Penduduk Pulau Ketam (JPPK).

Pesta itu diadakan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Orang ramai termasuk kaum Melayu turut berarak mengelilingi kawasan penempatan sekitar bersama tanglung dengan membawa mesej perpaduan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAIS, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki berkata, program itu sebagai usaha menterjemahkan semangat muhibah antara kaum, sekali gus menyuburkan keharmonian di kawasan kejiranan itu.

Katanya, acara julung kali diadakan di kawasan itu dilihat dapat menonjolkan keunikan pesta tanglung kepada pengunjung, selain meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap tradisi dan kebudayaan masyarakat Cina.

“Pesta Tanglung sebenarnya bukan sahaja khusus untuk masyarakat Cina, sebaliknya boleh diraikan masyarakat lain yang berbilang kaum di negara ini kerana ia merupakan pesta adat bagi meraikan kepelbagaian bangsa.

“Acara ini memberi pendedahan bahawa pesta adat juga boleh diadakan masyarakat Melayu, khasnya orang Islam dan bukan semata untuk orang Cina.

“Ia juga satu perayaan yang disambut masyarakat Cina yang membawa maksud mengharapkan kehidupan yang baik,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada sambutan itu, di sini.

Turut hadir, Naib Pengerusi ll PERKIM Selangor, Hushim Salleh dan Pengerusi PPPK, Dato’ Cha Keng Lee.

Antara pengisian program sebagai simbolik pesta berkenaan adalah Pertandingan Tanglung, Memanah, Perarakan Tanglung, Cabutan Bertuah dan Persembahan Nasyid serta Qasidah daripada Pelajar Akademi Tahfiz Mandarin Pulau Ketam.

Pada masa sama, Muhamad Sujak menyambut baik penganjuran aktiviti penuh bermakna dan istimewa itu supaya penduduk memahami gaya hidup kaum serta agama lain selain menggerakkan program kebudayaan secara bersama.

“Kita berasa sangat gembira kerana dapat melihat pembabitan semua kaum berarak membawa tanglung masing-masing, malahan tanglung yang kami sediakan tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pengunjung.

“Melihat kepada sambutan begitu menggalakkan, kita yakin untuk meneruskan penganjuran sam­butan itu pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih menarik,” katanya.

Terdahulu, Pesta Tanglung dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Perayaan Kuih Bulan secara tradisi menandakan berakhirnya musim menuai

Ia disambut hari ke-15 iaitu bulan kelapan pada kalendar Cina, antara akhir bulan Ogos atau akhir bulan September.

 


Pengarang :