SELANGOR

Lebih 800 peserta sertai Program Merdeka Sihat 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 17 SEPT: Lebih 800 peserta menjayakan Program Merdeka Sihat 2018 anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di bawah kelolaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 di Taman Tasik Seri Setia, di sini, hari ini.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia 2018, selain mempromosi gaya hidup dalam kalangan komuniti setempat.

Pengerusi JKP, Azahari Daud berkata, program terbabit dilihat mampu menjadi wadah penghubung bagi memperkukuh perpaduan dan mewujudkan muafakat antara masyarakat.

“Kita mahu pastikan masyarakat supaya memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kesihatan melalui semua aktiviti yang telah dirancang bagi program ini.

“Penglibatan luar biasa daripada lebih 800 peserta juga membuktikan bahawa masyarakat kita sedar keperluan terhadap program berbentuk kemasyarakatan yang dapat memupuk perpaduan.

“Justeru, melihat kepada sambutan di luar jangkaan, saya komited untuk meneruskan program sebegini secara kerap bersama penduduk,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai acara dijalankan termasuk larian ‘FunRun’, ‘Fitness Test’, Zumba, pertunjukan silat dan sepak raga bulatan.

Sebelum itu, gimik perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang turut serta melepaskan peserta larian ‘FunRun’.

Sementara itu, Hilman memuji inisiatif diambil pihak JKP Zon 4 melalui pelaksanaan program membabitkan komuniti.

“Diharap penglibatan aktif ini dapat mengajak masyarakat semua untuk bersama memperkukuh tekad dan iltizam ke arah mewujudkan kehidupan sihat serta lebih produktif.

“Saya juga menggesa semua penduduk, khususnya di daerah Gombak supaya terus mengharmonikan kawasan ini,” katanya.


Pengarang :