NASIONAL

Lebuhraya Guthrie tutup pada 16 September

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 SEPT: Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan ditutup sepenuhnya kepada pengguna lebuh raya, pada 16 September (Ahad) ini, bermula jam 3 pagi hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran GCE Duathlon 2018.

Berdasarkan kenyataan Prolintas, pengguna lebuh raya itu dinasihatan supaya merancang masa dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan berlangsung bagi memudahkan perjalanan.

“Bagaimanapun, Prolintas akan menyediakan penunjuk arah bagi pemberitahuan laluan alternatif di sepanjang Lebuhraya GCE.

“Untuk memastikan kelancaran acara dan laluan trafik, pasukan keselamatan khas akan ditempatkan di beberapa kawasan utama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Pada masa sama, Prolintas memohon kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan dan panduan keselamatan sepanjang penutupan terbabit.

Sebarang maklumat atau pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol 1-300-88-0035 dan mendapatkan info trafik terkini menerusi laman Twitter di @GCEtrafik serta layari www.prolintas.com.my.


Pengarang :