SELANGOR

Lebuhraya SUKE dan DASH – Siap 30 peratus, jangka siap menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kumpulan Syarikat Prolintas (PROLINTAS) memaklumkan projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) kini sudah siap 30 peratus pembinaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, kesemua kerja-kerja dijalankan mengikut jadual sekaligus membolehkan lebuhraya itu siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Untuk makluman, sehingga hari ini PROLINTAS tidak menghadapi sebarang masalah atau sebarang halangan, cuma harapan kami supaya ia dapat mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada media selepas Acara GCE Duathlon 2018, di Plaza Tol Bukit Jelutong, pagi tadi.

Lebuhraya SUKE dan DASH bermula pada 2008 dengan kajian konsep, manakala pembinaannya pula telah dijalankan 2016.

Apa yang menarik, kedua-dua lebuhraya ini akan menggunakan konsep elevated highway di mana 90 peratus laluan tidak berada di atas permukaan tanah, sebaliknya ia dibina diatas laluan-laluan jalan sedia ada dengan tiga lorong setiap arah.

Bagi projek SUKE, ia melibatkan kos pembinaan RM4.63 bilion, dan ia akan bermula dari Sri Petaling (tempat berakhirnya lebuhraya KESAS).

Setelah ia siap kelak, lebuh raya ini dijangka bakal menyuraikan trafik sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan 44,000 buah kenderaan setiap hari.

Manakala untuk lebuhraya DASH pula, ia melibatkan kos pembinaan RM4.18 bilion dengan pembinaan jarak sejauh 20.1 km.

Lebuhraya DASH dijangka bakal menyuraikan trafik jalan sekitarnya dan mengurangkan kesesakan sebanyak 39 peratus di Persiaran Mohkhtar Dahari, 33 peratus di Jalan Sungai Buloh dan 43 peratus di Persiaran Surian.

 


Pengarang :