GLOBAL

Letupan bukan serangan Israel: Tentera Syria

BEIRUT 2 SPET: Media rasmi Syria berkata bunyi kuat dari pangkalan udaranya awal pagi ini adalah letupan di depot simpanan senjata api berpunca dari masalah elektrik.

Namun, seorang pegawai tentera bersekutu serantau yang menyokong Damsyik mendakwa ia adalah serangan Israel.

Media rasmi memetik sumber tentera sebagai berkata tiada sebarang ‘pencerobohan Israel’ ke atas pangkalan udara Mezzeh berhampiran Damsyik, selepas satu bunyi letupan kuat kedengaran di seluruh ibu negara Syria.

Pegawai itu mendakwa letupan itu disebabkan oleh tembakan peluru berpandu Israel dari sempadan Bukit Golan di antara kedua-dua negara bertelagah itu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, turut menyifatkan serangan itu dilancarkan oleh Israel, yang menyebabkan kematian dan kecederaan.

Israel sebelum ini mengakui ada melancarkan serangan udara di Syria yang menyasarkan kemampuan Iran dan sekutunya, termasuk kumpulan Syiah Hezbollah di Lubnan, yang menyokong Assad dalam perang saudara selama tujuh tahun di negara itu.

Setakat ini tiada sebarang maklum balas dari Israel berhubung dakwaan itu.

Pada Mei lalu, Israel mendakwa menyerang hampir semua infrastruktur ketenteraan Iran di Syria selepas pasukan Iran melancarkan roket di wilayah yang diduduki Israel.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :