NILAI, 11 Jun — Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat model perumahan Youth City dan mendapatkan informasi tentang unit rumah yang dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perumahan ‘Youth City’ Tower D ‘Sayangi Anak Nogori’ di Vision City Sales Gallery, Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai, hari ini. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Levi import akan dikena pada sisa plastik- KPKT

KUALA LANGAT, 25 SEPT: Kerajaan akan memperkenalkan syarat-syarat baharu bagi permohonan lesen permit import (AP) sisa plastik termasuk mengenakan levi sebanyak RM15 bagi setiap tan barangan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, antara syarat baharu lain adalah syarikat pengimport mestilah mempunyai kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar selain perlu mengemukakan maklumat sumber sisa plastik dibeli.

Tambah beliau lagi, syarikat yang mahu memohon AP berkenaan juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Permohonan AP untuk mengimport sisa plastik ini telah kita bekukan buat masa ini dan hanya akan dibuka semula pada 23 Okt depan dan bagi syarikat yang mahu memohon, mereka perlu patuh terhadap peraturan-peraturan baharu ini.

“…pengenalan levi turut akan dikenakan pada tarikh yang sama, di mana sebelum ini sebarang pengimportan sisa plastik tidak dikenakan sebarang levi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat berkaitan isu aduan kilang memproses sisa plastik tidak berlesen di sini hari ini.

Tambah Zuraida, menurut rekod kementeriannya, sebanyak 234 permohonan untuk AP berkenaan telah diterima dan hanya 114 syarikat yang aktif dan daripada jumlah itu, hanya 51 syarikat mempunyai kelulusan daripada MIDA.

Sementara itu mengulas mengenai isu kilang memproses sisa plastik, Zuraida berkata terdapat 54 kilang seumpamanya di daerah berkenaan dan hanya 13 kilang yang mempunyai lesen operasi yang sah.

“Kilang-kilang yang tidak mempunyai lesen ini akan diarahkan tutup dan satu mesyuarat akan dijalankan pada minggu depan bersama pemilik kilang tidak berlesen ini untuk mencari jalan terbaik bagaimana untuk melupuskan sisa-sisa plastik yang ada di kilang itu,” katanya.

Katanya lagi pada masa akan datang pihaknya juga akan mengarahkan kilang-kilang memproses sisa plastik yang berlesen untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian berat kerana kilang sedemikian tidak sesuai untuk beroperasi di kawasan yang berhampiran dengan kawasan kediaman.

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan penduduk di Kuala Langat terutamanya di Telok Panglima Garang terdedah dengan risiko pelbagai jenis penyakit termasuk kanser apabila daerah itu dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :