GLOBAL

Lima cedera taufan Trami landa Okinawa

KAGOSHIMA 29 SEPT: Lima penduduk cedera apabila taufan Trami dengan kelajuan 217 kilometer sejam melanda pulau Okinawa di selatan Jepun, hari ini.

Taufan itu dijangka melanda seluruh Jepun pada esok dan berterusan hingga Isnin ini.

Imej yang disiarkan di televisyen memaparkan dahan pokok berterbangan selepas ditiup angin kencang hingga menghalang laluan di jalan raya utama di Naha.

Ia turut membawa ombak kuat dan hujan lebat ke seluruh pulau berkenaan.

Stesen penyiaran NHK melaporkan, kira-kira 600 penduduk sudah dipindahkan ke pusat penempatan di Okinawa, manakala bekalan elektrik ke lebih 121,000 kediaman terpaksa ditutup buat sementara waktu.

“Sekurang-kurangnya 386 jadual penerbangan ke barat Jepun sudah dibatalkan,” lapor NHK.

Menurut pihak berkuasa, lima penduduk dipercayai cedera, tetapi setakat ini, tiada kematian dilaporkan.

“Jumlah mangsa dijangka meningkat kerana kami masih mengumpul maklumat.

“Justeru, kami menggesa penduduk supaya sentiasa berhati-hati ketika taufan melanda,” kata pegawai dari pejabat pengurusan bencana Okinawa, Motoki Minei kepada AFP.

SUMBER: AFP


Pengarang :