GLOBAL

Lima juta mati akibat konflik

PARIS 1 SEPT: Kecederaan, penyakit, dan kebuluran yang disebabkan oleh konflik bersenjata di Afrika menjadi penyebab kepada kematian sehingga lima juta kanak-kanak dalam tempoh antara 1995 hingga 2015, kata sebuah kajian semalam.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira tiga juta daripada­nya ialah bayi berusia 12 bulan atau lebih muda.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet itu tidak tertakluk kepada bilangan individu sebenar, tetapi perbandingan data ke atas 15,441 kes konflik menyaksikan hampir satu juta orang maut, termasuk daftar kelahiran dan kematian kanak-kanak, kata pasukan penyelidik.

Pasukan penyelidik menggunakan data tersebut untuk mengira risiko kematian seorang kanak-kanak dalam jarak 100 kilometer dan dalam tempoh lapan tahun terakhir konflik bersenjata itu berlaku, kemudian menganggarkan jumlah kematian kanak-kanak yang dikaitkan dengan banyak peperangan di Afrika.

Angka lima juta itu lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya, demikian kata penulis.

“Konflik bersenjata yang lebih kerap dan sengit telah berlaku di Afrika dalam tempoh 30 tahun yang lalu berbanding di benua lain.

“Analisis ini menunjukkan bahawa kesan konflik bersenjata melangkaui kematian para pejuang dan kemusnahan fizikal. Konflik bersenjata secara signifikan telah meningkatkan risiko kematian kanak-kanak, untuk jangka masa yang panjang,” tulis penyelidik dalam laporan itu.

Selain menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak secara langsung, konflik juga menyumbang kepada kematian dan bantut tumbesaran selama bertahun-tahun dan di kawasan yang luas, kata pasukan itu.

Kematian juga berlaku akibat ketiadaan rawatan perubatan melibatkan wanita hamil dan bayi yang baru lahir, penyebaran penyakit disebabkan kelemahan perkhidmatan kebersihan, ketiadaan bekalan air bersih, kekurangan ubat-ubatan dan kekurangan zat makanan kerana ketiadaan makanan.

SUMBER: AFP


Pengarang :