SUKANKINI

Liverpool lakar rekod baharu catat enam kemenangan berturut

LIVERPOOL 23 SEPT: Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan musim ini dengan cukup sempurna apabila membantu Liverpool melakar rekod enam kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas selepas membenam Southampton 3-0 di Anfield.

Gol sendiri Wesley Hoedt pada minit ke-10, diikuti jaringan Joel Matip (minit ke-21) dan Salah, tiga minit memasuki waktu kecederaan babak pertama membolehkan Reds mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan musim ini (termasuk satu aksi Liga Juara-Juara).

Reds juga muncul kelab keempat berjaya memulakan kempen Liga Perdana dengan enam kemenangan berturut-turut, menyamai rekod Newcastle United (1994), Manchester City (2016) dan Chelsea pada 2005 serta 2009.

Kemenangan itu mengembalikan skuad bimbingan Jurgen Klopp di tangga teratas liga, namun kedudukan mereka mampu dipintas seandainya Chelsea menumpaskan West Ham menerusi jaringan besar, esok.

Ini adalah kali pertama sejak 1990/1991, Liverpool berjaya memulakan kempen musim baharu dengan tujuh kemenangan berturut-turut.

SUMBER: AGENSI


Pengarang :