Selangorkini
sdr
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

LPPSA laksana CSR bersih Pantai Cunang

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 15 SEPT: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) membersihkan Pantai Cunang, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Zawawi Mohd Muhiddin berkata, ia bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar.

Katanya, ia membabitkan 45 sukarelawan LPPSA, 30 pelajar Kelab Penerbitan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan 60 pelajar sekolah rendah serta menengah dari Tanjung Sepat.

“Program ini sekali gus memberi kita peluang berhubung dengan komuniti Orang Asal yang juga penduduk tempatan, di kawasan ini yang komited menjaga keindahan Pantai Cunang.

“Saya optimis program ini mampu memberi impak positif kepada komuniti tempatan dan mewujudkan kesedaran menjaga kebersihan pantai, sekali gus memupuk masyarakat prihatin terhadap kepentingan memelihara serta memulihara alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program CSR LPPSA Pembersihan Pantai Cunang, Tanjung Sepat, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Orang Asli, Tanjung Sepat.

Mengulas berkenaan Pantai Cunang dipilih sebagai lokasi program, Mohd Zawawi berkata, ia kerana pantai itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui berkenaan Pantai Cunang dan kini tiba masanya kita bersama membantu penduduk tempatan, di sini untuk lebih mengkomersialkan lagi supaya ia lebih dikenali seperti pantai lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada seluruh masyarakat untuk mengubah sikap dan memberi komitmen serius kepada penjagaan alam sekitar, terutama sungai juga pantai.

dav

 


Pengarang :