SELANGOR

LZS prihatin nasib kanak-kanak menghidap sawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Keprihatinan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam membela dan membantu golongan memerlukan tidak dapat dinafikan apabila tampil menyalurkan bantuan perubatan kepada seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit sawan, di sini, semalam.

Keluarga Mohd Radzi Othman dibantu pihak LZS selepas kisah penderitaan anak perempuannya, Qurratul Aini Maisara, 10, tular di laman sosial Facebook baru-baru ini ekoran mengalami penyakit itu, sejak dua tahun lalu.

Jurucakap LZS menerusi kenyataan berkata, Maisara amat memerlukan bekalan susu khas setin untuk seminggu dan perlu berulang alik ke hospital untuk membuat rawatan susulan atau jika diserang sawan.

Katanya, lebih menyedihkan bahu dan tangannya patah akibat terjatuh ketika sawan.

“Keluarga ini terpaksa menyewa kenderaan setiap kali ingin menghantar Maisara ke hospital. Kereta kancil kepunyaan keluarga ini sudah lama rosak.

“Ibu bapa Maisara juga asnaf miskin yang menerima bantuan zakat, bermula Ogos lalu. Mereka menerima bantuan tunggakan sewa rumah sebanyak RM4,000.

“Selain itu, keluarga Maisara turut menerima bantuan sewa rumah bulanan sebenyak RM700 sebulan,” katanya.

Terdahulu, pada 7 September lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu tidak hanya terhenti di situ apabila doktor turut mengesahkan dia menghidap peyakit injap berlubang dan mempunyai ketumbuhan, di kepala.

Penyakit sawan dihidapinya itu semakin teruk sejak setahun lalu sehingga diserang sawan lima kali sehari menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu pengsan dan tidak sedarkan diri.

Maisara yang bersekolah di Program Pendidikan Khas Integrasi Puncak Alam pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pertengahan tahun lalu untuk merawat penyakit jantung berlubang yang menelan kos RM25,000.

Justeru, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan ke akaun Maybank 162012816885 milik Mohd Radzi.


Pengarang :