NASIONAL

Majikan perlu beri pelepasan kakitangan mengundi esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kementerian Sumber Manusia meminta majikan sektor swasta memberikan pelepasan kepada kakitangan yang bekerja untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong, esok.

Katanya, hak untuk mereka mengundi diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bahkan majikan tidak dibenar mengenakan penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja bagi tujuan terbabit.

“Kementerian meminta majikan sektor swasta mengambil langkah seperti memberi ‘time-off’ kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian berdekatan atau memberi hari kelepasan kepada pekerja yang bekerja berjauhan dengan tempat mengundi.

“Pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat pengundian boleh mengambil cuti tahunan. Majikan hendaklah merundingkan soal pemberian ‘time off’, hari kelepasan yang digantikan dan cuti tahunan dengan pekerja berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan 8 September ini sebagai tarikh PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia.


Pengarang :