NASIONAL

Majlis Tindakan Sara hidup rangka pelan wajar

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini akan merangka pelan tindakan sewajarnya untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Eksekutif dalam tempoh dua bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat itu mengambil maklum isu pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia yang dibentangkan Jabataan Perangkaan Malaysia.

Katanya, lebih 60 peratus punca pendapatan isi rumah adalah daripada pendapatan bergaji dan perbelanjaan isi rumah B40 serta M40 yang mempunyai tanggungan lebih tertumpu kepada perbelanjaan juga minuman.

“Bagi tempoh 2016, lebih 50 peratus perbelanjaan tertumpu kepada tiga kumpulan utama, iaitu makanan dan minuman, perumahan dan utilliti serta pengangkutan.

“Sementara purata perbelanjaan isi rumah di bandar adalah 90.7 peratus daripada purata pendapatan (RM7,671) manakala purata perbelanjaan isi rumah di luar bandar adalah 94.2 peratus daripada pendapatan (RM4,359),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Wan Azizah berkata, mesyuarat itu turut mengambil maklum beberapa cadangan dikemukakan kementerian membabitkan perumahan dan pengangkutan awam.

Katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan terus memainkan peranan dengan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif baru bagi mengurangkan beban serta keresahan dihadapi rakyat.

“Mesyuarat sama turut menerima cadangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan akses pembiayaan perumahan.

“Terdapat juga yang mengesyorkan untuk mengkaji inisiatif bagi mengurangkan penggunaan gula dalam makanan siap proses, termasuk menurunkan import bahan mentah gula dalam jangka masa panjang,” katanya.


Pengarang :