EKONOMINASIONAL

Malaysia sedia runding kedudukan dalam CPTTP

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kerajaan masih berunding bagi menentukan hala tuju Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perjanjian yang ditandangani kerajaan terdahulu banyak merugikan Malaysia dalam usaha membangunkan negara.

“Kita mengkaji semula (CPTPP) dan mendapati banyak perkara yang merugikan kita dalam usaha membangunkan negara. Kita adalah sebuah negara membangun tetapi dalam kalangan CPTPP ini ada yang negara maju.

“Saingan antara yang (negara) membangun dan maju tentunya tidak adil. Kita perlu mendapat layanan yang istimewa bagi yang lemah.

“Ini pendirian kita dan kita akan runding lagi sehingga kita mendapat syarat yang tidak merugikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata, buat masa ini usaha rundingan itu dilakukan oleh kumpulan pakar negara bagi memastikan negara memperoleh manfaat sekiranya menyertai CPTPP.

“Kita (kumpulan pakar) mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu dan dalam perjumpaan itu, kami membincangkan soal perjanjian ini untuk menentukan sama ada ia baik bagi kita atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, kita mengenalpasti banyak yang tidak baik bagi kita dan kita perlu runding semula berkenaan perjanjian ini,” katanya.


Pengarang :