NASIONAL

Malaysia-Singapura sepakat tangguh HSR tanpa perlu bayar pampasan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Malaysia dan Singapura berjaya mencapai kata sepakat menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua kerajaan itu juga bersetuju tidak mengenakan sebarang pampasan sehingga tamat tempoh penangguhan.

“Setelah kita mengadakan perbincangan, Kerajaan Singapura bersetuju menerima pandangan Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan projek ini kepada satu tempoh kerana dalam tempoh tersebut kita yakin ekonomi Malaysia akan kembali pulih.

“Dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Singapura, perkara ini juga dibincangkan dan beliau gembira kerana kedua-dua negara bersetuju menangguhkan projek ini dan tidak ada pampasan perlu dibayar dalam tempoh penangguhan.

“Ia hanya akan dibayar sekiranya di akhir tempoh penangguhan kita membatalkan projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sambil menyifatkannya sebagai perkembangan positif, Mohamed Azmin memberitahu satu perjanjian bakal dimeterai kedua-dua pihak di Kuala Lumpur pada masa terdekat.

Katanya, kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengadakan perbincangan pada tempoh penangguhan ini bagi mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan kos projek terbabit.

Katanya, antara formula penjimatan dibincangkan termasuklah pilihan menggunakan teknologi baru yang lebih menjimatkan dan pelbagai aspek lain lagi.

“HSR ini ada dua komponen, pertama perkhidmatan antarabangsa daripada Singapura terus ke Kuala Lumpur dan satu lagi perkhidmatan domestik di mana terdapat tujuh perhentian sepanjang perjalanan tersebu.

“Kita akan fokus kepada perkhidmatan antarabangsa kerana memberikan kesan ekonomi yang baik Malaysia dengan Singapura,” katanya lagi.


Pengarang :