NASIONAL

Mangsa banjir di Linggi kekal 15 orang

SEREMBAN, 16 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kampung Ladang Sengkang, Linggi, Port Dickson masih kekal 15 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi setakat 10 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Port Dickson dalam kenyataan di sini berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Balai Raya, Sungai Raya Linggi yang dibuka pada 5 petang semalam.

“Hasil pemantauan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama ketua kampung, kawasan kediaman penduduk yang terjejas telah beransur pulih.

“Kesemua mangsa masih berada di pusat pemindahan dan akan dibenarkan pulang sekiranya keadaan cuaca baik dan kawasan kediaman benar-benar selamat untuk diduduki semula,” kata kenyataan itu.

Semalam, tiga keluarga di kampung itu dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam satu meter akibat hujan berterusan sejak kelmarin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :