GLOBAL

Mangsa korban Taufan Mangkhut terus meningkat

HONG KONG 17 SEPT: Taufan Super Mangkhut melintasi Hong Kong dan bergerak ke China semalam selepas mendatangkan kemusnahan besar serta meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa di Filipina.

Membawa angin selaju lebih 200 kilometer sejam, ribut itu dianggap yang paling kuat pernah melanda Hong Kong tahun ini, menyamai taufan Kategori 5 di Lautan Atlantik.

Mangkhut yang bermaksud buah manggis dalam bahasa Thailand tiba di bandar Jiangmen, wilayah Guangdong di selatan China petang semalam selepas membadai Hong Hong. Media China menggelar taufan itu sebagai ‘Raja Ribut’.

Terdahulu, pentadbiran Hong Kong meningkatkan amaran taufan kepada peringkat 10 sekali, gus tertinggi pagi semalam ketika angin kuat menumbangkan pokok dan memecahkan cermin tingkap bangunan pejabat serta kediaman penduduk.

Paras air laut pula meningkat setinggi 3.5 meter di beberapa kawasan, dengan ombak membadai dan menghanyutkan ikan ke beberapa blok perumahan serta sebuah pasar raya di daerah timur Hong Kong.

“Ini merupakan taufan paling buruk yang pernah saya lihat. Saya tidak pernah melihat jalan raya ditenggelami air banjir seperti ini, manakala cermin-cermin bergegar,” kata seorang penduduk, Martin Wong kepada agensi berita Reuters.

Dalam perkembangan berkaitan, perjalanan beribu-ribu penumpang terjejas selepas pihak berkuasa membatalkan sejumlah penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong. Beberapa syarikat penerbangan serantau seperti Cathay Pacific membatalkan banyak penerbangan pada minggu lalu.

Sementara itu, pihak berkuasa Filipina berkata, seorang bayi dan seorang kanak-kanak merupakan antara 49 orang yang maut dengan ramai mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di kawasan pergunungan yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang hilang.

“Kejadian tanah runtuh berlaku ketika penduduk kembali ke kediaman mereka selepas taufan berkenaan,” kata pegawai penyelaras bencana Filipina, Francis Tolento kepada stesen radio DZMM.

Di Macau pula, kebanyakan operasi pusat perjudian dihentikan kelmarin.

“Langkah itu diambil demi keselamatan kakitangan dan pengunjung kasino termasuk penduduk tempatan,” kata pihak berkuasa di hab perjudian terbesar dunia itu yang berdepan kritikan pada tahun lalu selepas sembilan orang terbunuh dalam bencana taufan.

China pula mengarahkan beribu-ribu bot untuk kembali ke pelabuhan dan bertindak memindahkan pekerja syarikat minyak di luar pesisir, lapor agensi berita, Xinhua.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :