AGAMASELANGOR

MAPIM gerak usaha Transformasi Qaryah, sasar 5,000 penggerak masyarakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Program dan Modul Tranformasi Qaryah (Pelan Tiga Tahun) ke arah membina masyarakat yang dinamik, berdikari dan mengamalkan ciri-ciri khaira ummah.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, MAPIM kini berusaha menggerakkan program terbabit di seluruh negara.

Katanya, usaha itu adalah untuk membawa perubahan di peringkat setempat dengan mengembeleng warga kariah dengan menggunakan masjid sebagai paksi masyarakat.

“Ini akan memungkinkan perubahan yang diinginkan dan dizahirkan dengan lebih berkesan.

“Dengan melihat realiti dan usaha dibawa kerajaan, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta, namun gejala negatif dalam masyarakat khususnya masalah sosial tidak dapat diperangi dengan berkesan.

“Kami berpendapat kepimpinan masyarakat diperingkat akar umbi jelas tidak digembeleng untuk menangani isu sosial, ekonomi, pengurusan sumber tempatan, pendidikan dan budaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Geno Hotel sempena pelancaran modul terbabit, di sini.

Mohd Azmi berkata, MAPIM akan melatih seramai 5,000 penggerak masyarakat di peringkat kariah bagi menjayakan proses tranformasi dingini itu.

Katanya, ia meliputi aspek kepimpinan, keorganisasian, ketrampilan, pemikiran kritikal, komitmen bertugas, berdisiplin, keupayaan memberi motivasi dan kemampuan memobilisasikan komuniti.

“Dengan latihan itu, MAPIM akan berusaha menggerakkan 300 masjid terpilih sebagai contoh dengan kerjasama Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri.

“Dari sekitar 6,400 masjid dan 27,000 surau yang ada dalam negara, kami merasa gerakan perubahan minda dan sikap masyarakat boleh dilaksanakan melalui program ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu masjid dijadikan institusi paling strategik membawa perubahan itu dengan beranggapan dinamika dan upaya komuniti hanya boleh dizahirkan sekiranya semua aspek pembinaan insan dilaksanakan dari masjid.

“Gerakan tranformasi masyarakat berpaksikan pembinaan nilai hidup manusia, minda dan sikap kritikal, partisipatisi aktif serta kepimpinan berkesan.

“Kami mengharapkan supaya kerajaan memberi sokongan dan bantuan dalam usaha menggerakkan program ini,” katanya.

10 modul dalam Program Transformasi Qaryah yang membabitkan perlindungan zuriat, pembinaan keluarga, hidup mandiri, pembangunan wanita dan generasi muda, interaksi antara kaum, institusi sekolah dan masjid.


Pengarang :